Sabtu, 19 November 2011

Wahai Pemuda Islam --> Kenapa Anda Sangat Sulit ke Masjid

Peranan remaja merupakan tonggak utama kemajuan dan kekuatan sesebuah negara. Kita dapati dalam sesebuah masyarakat yang maju dan suasana persekitaran yang baik adalah lantaran wujudnya remaja yang berpotensi, optimistik dan baik akhlaknya. Apabila masyarakat itu baik, maka secara tidak langsung negara turut maju dan aman. Namun
yang menjadi masalah kita hari ini ialah masih wujud para remaja yang tidak tahu apakah sebenarnya peranan diri mereka sama ada untuk diri mereka sendiri, keluarga, masyarakat ataupun negara.

Sejarah telah membuktikan bahawa golongan pemuda merupakan golongan yang paling berperanan di dalam perkembangan dakwah Islam. Rasulullah (s.a.w) sendiri sewaktu menerima wahyu yang pertama berusia 40 tahun. Sementara Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar masing-masing berumur 37 dan 27 tahun sewaktu menerima Islam. Islam sangat mengambil berat tentang remaja. Di dalam al-Quran banyak terdapat ayat-ayat yang mengisahkan tentang peranan dan perjuangan remaja. Antaranya ialah menceritakan tentang kisah beberapa orang remaja yang lari ke gua kerana hendak menyelamatkan aqidah mereka dari kekejaman seorang raja.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“(Ingat peristiwa) tatkala serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu dan berikanlah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”. (Al-Kahfi: 10)

Allah juga menyebutkan tentang wasiat Luqman kepada anaknya supaya tidak menyekutukan Allah, menyedarkan bahawa Allah S.W.T. Maha Mengetahui segala-galanya, mendirikan sembahyang, tidak merasa angkuh dan sentiasa bersederhana dalam tingkah laku.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Wahai anak kesayanganku, dirikan sembahyang, suruhlah berbuat kebaikan dan larang daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya”. (Luqman:17)

Pada zaman Rasulullah (s.a.w) didapati remaja Islam begitu gigih dan beriman. Golongan merekalah yang mencatatkan sejarah yang agung ke arah mengembangkan dakwah Islam. Remaja-remaja Islam pada zaman itu merupakan pembawa panji-panji Islam yang sentiasa tersebar dan berkibar dalam satu kawasan geografi yang luas. Keluasannya meliputi empayar Rom dan Parsi. Kekuatan yang ada pada remaja Islam pada masa itu ditunjangi oleh mereka seperti Abdullah bin Mas’ud, Abd.Rahman bin Auf, Said bin Zaid dan ramai lagi. Memang tidak dinafikan ketabahan dan ketulenan jiwa mereka sentiasa direstui oleh Allah S.W.T. sama ada di bawah pimpinan Rasulullah (s.a.w) mahupun sahabat-sahabat baginda yang menjadi khalifah kemudiannya.

Sejarah Islam telah membuktikan bagaimana peranan dua remaja yang mengharumkan nama Islam iaitu Saidina Ali bin Abi Talib dan Usamah bin Zaid yang memainkan peranan dalam perkembangan Islam. Saidina Ali sanggup menggantikan tempat tidur Rasulullah semasa Rasulullah dikepung oleh pemuda-pemuda Qurish sedangkan ia tahu nyawanya terancam. Manakala Usamah bin Zaid dalam usia remaja beliau telah menerima amanah yang besar daripada Abu Bakar As-Sidiq untuk memimpin satu bala tentera ke medan jihad sebagai pengganti ayahnya.

Demikianlah pengiktirafan Islam terhadap peranan golongan remaja yang menunjukkan contoh perjuangan Islam yang dapat menyayangi golongan yang lebih tua kepada mereka.

Peranan remaja menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara. Remaja yang baik akan mewujudkan negara yang maju dan seimbang dalam semua bidang rohani dan jasmani. Sebaliknya remaja yang tidak baik atau yang tidak mempunyai kesedaran adalah merugikan, malah melemahkan masyarakat dan negara.

Pembentukan sesebuah negara yang baik dan maju haruslah bermula dari pembentukan individu yang baik terlebih dahulu, kemudian disusuli pula dengan pembentukan keluarga yang baik, kemudian dari keluarga yang baik ini akan mewujudkan sebuah masyarakat yang baik. Seterusnya melalui masyarakat yang baik akan tertegaklah sebuah negara yang baik dan maju. Ini bertepatan dengan apa yang dikehendaki oleh akal, negara yang sejahtera dan mendapat keampunan daripada Allah.

Fenomena Remaja Pada Hari Ini

Secara umum minat golongan remaja untuk menghayati dan mempraktikkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian mereka adalah berbeza-beza berdasarkan perbezaan latar belakang, taraf intelektual dan pengaruh persekitaran masing-masing. Dengan demikian didapati di sesetengah tempat, masjid penuh dengan golongan ini, manakala di sesetengah tempat lain tidak pula.

Sungguhpun begitu masih terdapat kekosongan dalam ruang lingkup kehidupan golongan remaja ini untuk diisikan atau dipertingkatkan ‘nilai-nilai masjid’ supaya paradigma pemuda dan remaja ini dapat berada pada tahap yang tinggi dan dihormati. Perancangan dan usaha yang rapi sangat perlu bagi memenangi persaingan ke atas pengaruh negatif yang sentiasa mencari peluang untuk merosakkan golongan ini. Harus diingat bahawa kehidupan dunia masakini yang semakin maju dan kompleks, sememangnya memberi pengaruh yang besar dalam sosialisasi kehidupan setiap remaja.

Apa yang dibimbangi ialah naluri kejiwaan remaja yang sentiasa cenderung kearah keseronokan akan lebih parah apabila jiwa-jiwa mereka tidak mampu menangkis segala macam ancaman budaya barat yang sentiasa menggoda serta runtunan dan hambatan nafsu ammarah yang setiap detik dan ketika meronta-ronta dan merungut-rungut mengajak menyimpang dari haluan mengamalkan nilai-nilai masjid. Dengan demikian kehidupan golongan remaja perlu dipenuhi dengan peningkatan nilai-nilai unggul dan murni. Sekiranya kekosongan ini tidak diisi dengan nilai-nilai tersebut, nilai-nilai negatif pasti mudah mengambil tempat kekosongan yang wujud itu.

Permasalahan Remaja

Mutaakhir ini seluruh masyarakat dikejutkan dengan rentetan peristiwa dan masalah yang melanda golongan remaja. Gejala mungkar di kalangan mereka ditunjukkan dengan lingkaran cerita yang sangat memalukan dan dengan pendedahan variable yang memeranjatkan. Dalam satu kajian (1994) tentang perilaku membuang masa di kalangan remaja oleh Kementerian Belia Dan Sukan dengan kerjasama enam buah universiti tempatan, didapati sebanyak 28 peratus atau 1,640 daripada 5860 remaja yang disoal selidik telah mengaku terbabit dalam kegiatan seks bebas, 40 peratus terbabit pernah menonton video lucah , 25 peratus mengaku meminum minuman keras, 14 peratus menagih dadah dan 71 peratus menghisap rokok. Kajian ini mendedahkan betapa amalan seks luar nikah yang sangat terkutuk itu dianggap sebagai perkara biasa. Lebih malang lagi ialah 83 peratus daripada remaja yang suka melepak adalah Melayu dan beragama Islam. (Berita Harian 1 Jun, 1994).

Penglibatan golongan pemuda dalam kegiatan-kegiatan negatif seperti penyalahgunaan dadah, alkoholisme, seks bebas, malas, berseronok berlebih-lebihan dan lain-lain seperti yang telah disebutkan bukan sahaja boleh merendahkan martabat diri sendiri tetapi boleh memudaratkan kesihatan dan membawa maut. Islam sangat melarang keras setiap tindakan salah laku yang membawa kemusnahan.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

 “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan…”(Al-Baqarah: 195) 

Kesan yang lebih buruk dari tindakan yang kurang sihat ialah meruntuhkan masyarakat serta negara yang kesemua ini merupakan kemungkaran yang akan mendapat kemurkaan serta pembalasan daripada Allah S.W.T.

Firman Allah yang bermaksud:

“Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.(Ar-Rum: 41)

Semoga bermanfaat...


Sumber:
- Alqur'an dan terjamahannya
- Bacaan Kembang Anggrek
- Gambar Masjid Al-Markaz Makassar Sulawesi Selatan
- Saksiakan bahwa Aku Seorang Muslim --> Salim A. Fillah


Comments
0 Comments

0 komentar:

Posting Komentar

Entri Populer

Sekilas

SELAMAT DATANG

Selamat datang di Blog Mega Oc. - Saya Senang dengan anda mengklik informasi ini, berarti anda peduli dengan keberadaan blog ini, saya berharap ini bukan untuk pertama kalinya anda mengunjungi blog ini. Mudah-mudahan blog ini bermanfaat.

Sekilas Pesan

Belajar dan belajar sampai bodoh kembali. Tdk menginginkan org lain kecewa krn tingkah ku. Menabur kebaikan akan menuai berkah. Jadi tdk menabur angin agar tdk menuai badai.(' ',)